Friday, December 28, 2012

Ayam Masak Merah

Resepi Ayam Masak Merah
Bahan-bahannya
  • 1 ekor ayam - di potong ikut suka (kecil lagi sedap), diperapkan bersama garam, lada sulah dan kunyit serbuk selama 1 jam dan digoreng garing...
  • 2 senduk besar lada kering yang sudah dikisar (boleh tambah atau kurangkan)
  • 3 biji bawang merah besar - dikisar
  • 4 biji bawang putih - dikisar
  • 1/2 botol besar Tomato sos
  • 1/2 botol besar Cili sos
  • 1/2 tin susu cair
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1/2 kg bawang merah kecil - dihiris dan dibuat bawang goreng (digoreng selepas ayam masak)
Bahan hiasan

  • Daun sop dan daun bawang - dihirs halus
  • Kacang Pees (dalam tin)
Cara-cara memasak

  1. Panaskan kuali dan tumiskan kesemua bahan kisar hingga garing dan kering, setelah itu masukkan cili sos, tomato sos dan susu cair.
  2. Tumis lagi untuk beberapa minit dan masukkan garam dan gula, gaul sehingga rata, kecilkan api dan masukkan ayam yang telah digoreng dan dikacau rata. Tambahkan 1 gelas air dan masak sehinnga kuah pekat.
  3. Akhir sekali, goreng bawang kecil hingga menjadi bawang goreng dan tuangkan bawang tersebut bersama minyak bawang goreng itu ke dalam kuali ayam tadi.......di gaul rata dan boleh lah dihidang kan.
  4. Taburkan daun sop, daun bawang dan kacang pees untuk hiasan.

Puding Buih

Resepi untuk Puding Buih Berkuah
Bahan-bahannya:-
  • 2 paket agar-agar serbuk
  • 1.2 litre air
  • 6 sb gula
  • 3 helai daun pandan - dibersihkan dan diikat
  • 4 biji telur - asingkan putih dan kuning
  • Warna kegemaran 
  • 1 tin buah koktail
Untuk kuah puding:-
  • 1 tin susu cair
  • 2 tin air (sukat menggunakan tin susu cair)
  • 3/4 tin susu pekat (boleh kurangkan atau ditambah)
  • 1 sb tepung kastard/ tepung jagung
Cara-cara membuatnya:-
  1. Masakkan agar-agar bersama air, daun pandan gula sehingga gula larut, keluarkan daun pandan dan biarkan sejuk, sementara itu.....
  2. Pukul kesemua putih telur sehingga putih, kembang dan ringan (tidak tumpah jika diterbalikkan).  Setelah itu masukkan 3 sahaja biji telur kuning (1 disimpan untuk membuat kuahnya).  Pukul lagi sehingga kembang.  Masukkan agar-agar yang telah suam sejuk tadi kedalam telur dan pukul rata.  Bahagikan kepada beberapa bahagian dan warnakan.  Setelah itu bolehlah dimasukkan kedalam acuan kegemaran.  Biarkan sejuk baru dimasukkan kedalam peti sejuk.  Sedap dihidangkan semasa sejuk bersama kuah dan buah koktail.
Cara-cara membaut kuahnya:-
  1. Masukkan kesemua bahan bersama 1 biji telur kuning kedalam periuk dan kacau rata.  Setelah itu baru dimasak di atas api sambil di kacau rata, setelah kuah mendidih dan pekat, tutup api dan biarkan sejuk.  Masukkan kuah kedalam peti sejuk.  Hidangkan sewaktu sejuk.

Ayam Goreng Nestum

Resepi untuk Ayam Goreng Nestum
Bahan-bahannya:-
  • 1 ekor ayam - dicuci, dibersihkan.  Perapkan bersama garam dan lada sulah serbuk (lebihkan lada sulahnya) selama 1 jam atau lebih
  • 3 sb tepung jagung + 3 sb tepung gandum 
  • 3 biji telur - dipukul sedikit
  • Nestum secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng
Cara-cara memasak:-
  1. Panaskan minyak, setelah minyak panas, kecil kan api ke sederhana kecil.
  2. Ambil ayam yang telah diperap dan golekkan kedalam adunan tepung gandum dan tepung jagung sehingga rata kemudian celupkan pula kedalam telur dan ratakan dengan nestum.
  3. Digoreng sehingga ayam menjadi kekuningan.  Angkat dan sedia untuk dihidangkan....

Tip: Pastikan semasa menggoreng menggunakan api yang sederhana kecil untuk memastikan ayam dapat masak keseluruhan dan tidak menghanguskan nestum.



Sunday, December 23, 2012

Chocolate Snowballs

Resepi Chocolate Snowballs
Bahan-bahannya:-
  • 200gm biskut marie - dikisar halus
  • 15 biji badam - dikisar halus
  • 10 biji ceri - dihiris panjang
  • 2 sb butter - dicairkan
  • 2 s/b kelapa kering
  • 2-3 sb susu pekat
Bahan untuk snow:-
  • 1/2 keping white chocolate- dicairkan secara double boiler atau masukkan kedalam microwave selama 1-2 minit.
  • Kelapa kering secukupnya
Cara-cara membuatnya:-
  1. Campurkan semua bahan sehingga rata dan kepal-kepal kan sebesar bola golf, seperti digambar dan simpankan ke dalam peti sejuk selama 15 minit.
  2. Setelah keras, masakkan white chocolate seperti yang dicadangkan.  Celupkan snowball tadi ke dalam chocolate cair dan salutkan kedalam kelapa kering.  Angkat, letakkan ke atas pinggan/bekas/loyang, lakukan sehingga semua siap dan simpan ke dalam peti sejuk minimum 10 min dan sedia dihidangkan!
  3. Untuk penyimpanan, boleh lah disimpan ke dalam bekas yang bertutup dan disimpan di dalam peti sejuk.

Roti Benjo Sardin Blackpepper

Resepi untuk Roti Benjo Sardin Blackpepper
Bahan-bahannya:-
  • Roti Sausage Roll - dibelah dua tidak putus
  • 1 tin sardin - dibuang tulang dan dihancurkan
  • 5 biji telur - dipukul
  • 1 biji bawang merah - dipotong dadu
  • 4 biji bawang putih - dicincang
  • 2 sb serbuk lada hitam
  • 4 sb thousand island
  • 2 biji kentang - dipotong dadu kecil
  • Garam secukup rasa
  • Daun salad
  • Sedikit majerin/ mentega
Cara-cara membuatnya:-

  1. Goreng kentang yg telah dipotong dadu sehingga masak, angkat dan ketepikan.
  2. Tumiskan bawang merah dan lada hitam sehingga naik bau.  Masukkan lada hitam kacau hingga rata.
  3. Masukkan sardin dan 4 sb kuah sardin bersama thousand island.  Kacau hingga sebati dan kering.  Tambahkan garam secukup rasa dan angkat.
  4. Masukkan telur yang telah dipukul kedalam adunan sardin tadi bersama kentang dan kacau rata.
  5. Panasnak kuali (non stick) lebih baik, dah letakkan sedikit mentega (gunakan api kecil), dengan menggunakan senduk kecil, tuangkan 1 senduk ke atas kuali dan telangkupkan roti ke atas sardin tersebut.
  6. Sapukan majerin/ mentega di atas roti tersebut (seperti digambar) setelah sardin telur masak, terbalikkan roti tersebut dan tekan sedikit untuk menggaringkan bahagian roti yang telah disapukan mentega tadi.
  7. Angkat, biarkan sejuk, letakkan salad di dalam roti dan sedia untuk dihidangkan.

Kek Nestum Marble

Resepi untuk Kek Nestum Marble
Bahan-bahannya:-
  • 250gm (1 buku) butter
  • 1 1/2 cawan tepung naik sendiri
  • 2 cawan nestum - dikisar
  • 1/2 cawan badam- dikisar
  • 200gm susu pekat
  • 5 biji telur
  • 1 sk esen vanila
  • 150gm gula halus/ kastor
  • Pewarna coklat (milo letaklah seberapa banyak yg disukai)
  • Pewarna pink, kuning dan hijau
Cara-cara membuatnya:-
  1. Panaskan kukus dan lencerkan loyang dengan butter dan alaskan dengan aluminium foil.
  2. Pukul butter and gula sehingga kembang/ putih, masukkan telur satu persatu. Pukul sehingga kembang dan masukkan susu pekat dan esen vanila.
  3. Campurkan bahan kering, tepung, nestum dan badam. Ketepikan.
  4. Dengan menggunakan kelajuan yang rendah masukkan bahan kering yang telah dicampurkan tadi, pukul sehingga sebati.
  5. Bahagikan kepada empat bahagian.
  6. Letakkan secara rawak ke dalam loyang dan kukus selam 1 jam 40 minit atau sehingga cukup masak. Untuk memastikan kek sudah masak secara keseluruhan, bolehlah mencucuk kek dengan ,pencucuk kek atau lidi di tengah, kiri dan kanan. Jika ianya masih melekat boleh lah di tambah masa mengukus.
  7. Setelah siap, biarkan sejuk di dalam loyang, barulah dikeluarkan dan dipotong.

Bubur Jagung Keledek

Resepi untuk Bubur jagung Keledek
Bahan-bahannya:-
  • 1 tin jagung manis (bukan yang hancur)
  • 1 kotak kecil santan
  • 1/2 tin susu cair
  • 1/2 cawan biji sagu - dicuci dan ditoskan
  • 2 biji keledek merah - dipotong dadu
  • 3 helai daun pandan - dicuci dan diikat
  • Gula secukupnya
  • Secubit garam
Cara-cara membuatnya:-
  1. Masukkan air, keledek, biji sagu dan daun pandan, masak sehingga keledek lembut.
  2. Setelah itu masukkan gula, jagung dan santan.  Kacau sehingga mendidih, masukkan garam dan susu cair. Siap untuk dihidangkan panas atau pun sejuk.....
 

Kari Daging

Resepi untuk Kari Daging
Bahan-bahannya:-
  • 1 kg daging - direbus sehingga empuk dan dipotong nipis
  • 1 paket kecil rempah penumis
  • 3 sb minyak sapi
  • Daun kari secukupnya
  • 1 biji bawang merah - dihiris
  • 2 biji bawang merah besar - dikisar
  • 4 biji bawang putih - dikisar
  • 1 inci halia - dikisar
  • 1 paket kecil rempah kari BABAS - dibancuhkan dengan sedikit air
  • 1/2 kotak kecil santan
  • 2 biji kentang - dipotong ikut suka
  • 2 biji tomato - dipotong 8
  • Sos tomato secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Kiub ayam - optional
Cara-cara memasak:-
  1. Panaskan periuk bersama minyak sapi, setelah panas, masukkan rempah penumis, bawang yang dihiris dan daun kari.  Tumis sehingga naik bau, masukkan bahan yang dikisar, tumis lagi sehingga garing.
  2. Masukkan rempah kari dan tumis lagi sehingga rempah kering dan garing.  Setelah itu masukkan daging dan air rebusannya sekali bersama kentang, biarkan sehingga mendidih dan masukkan santan, sos tomato, kiub ayam dan sesuai kan rasa dengan garam dan gula (tidak perlu letak gula jika diletakkan kiub ayam).  Akhir sekali masukkan tomato dan tutup api.  Sedia untuk dihidangkan...

Puri

Resepi untuk Puri
Bahan-bahannya:-
  • 1/2kg tepung gandum
  • 1 cawan majerin
  • 1 cawan air
  • Sedikit garam
Cara-cara membuatnya:-
  1. Campurkan tepung and majerin, ketepikan.
  2. Ambil garam dan bancuhkan bersama air sehingga larut. Masukkan sedikit demi sedikit air kedalam tepung dan uli sehingga licin. Rehatkan selama lebih kurang 10 minit
  3. Ambil sedikit dan uli bulat sebesar bola golf, canai nipis dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga menggelembung dan terbalikkan, setelah kekuningan boleh lah di angkat dan dihidangkan panas-panas Sedap jika dimakan dengan kari atau sambal sardin..:) Selamat Mencuba!

Goreng Pisang Sedap

Resepi untuk Pisang Goreng Sedap
Bahan-bahannya:-
  • Pisang - dipotong ikut suka
  • 1 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan tepung kastard
  • 5 sb santan pekat 
  • 1 biji telur 
  • 2 sb mentega - dicairkan
  • Garam secukup rasa 
  • Sedikit gula (bukan untuk rasa manis tapi untuk mengilatkan pisang goreng) 
  • Minyak untuk menggoreng
Cara-cara membuatnya:-
  1. Campurkan semua bahan-bahan sehingga tepung larut dan tiada gumpalan.
  2. Celupkan pisang dan goreng sehingga kekuningan....angkat dan toskan....siap! sedap jika dimakan panas-panas....

Thursday, December 20, 2012

Kek Lapis Nestum Badam

Resepi untuk Kek Lapis Nestum Badam
Bahan-bahannya:-
  • 250gm (1 buku) butter
  • 1 1/2 cawan tepung naik sendiri
  • 1 1/2 cawan nestum - dikisar
  • 1/2 cawan badam- dikisar
  • 200gm susu pekat
  • 5 biji telur
  • 1 sk ese vanila
  • 150gm gula halus/ kastor
  • Pewarna hijau dan kuning
Cara-cara membuatnya:-
  1. Panaskan kukus dan lencerkan loyang dengan butter dan alaskan dengan aluminium foil.
  2. Pukul butter and gula sehingga kembang/ putih, masukkan telur satu persatu.  Pukul sehingga kembang dan masukkan susu pekat dan esen vanila.
  3. Campurkan bahan kering, tepung, nestum dan badam.   Ketepikan.
  4. Dengan menggunakan kelajuan yang rendah masukkan bahan kering yang telah dicampurkan tadi, pukul sehingga sebati.
  5. Bahagikan kepada dua bahagia, satu bahagian diwarnakan dengan warna hijau dan sebahagian lagi dengan warna kuning.
  6. Masukkan setengah dari warna kuning kedalam loyang dan ratakan (adunan agak pekat).  Tutup kukus dengan aluminium foil dan kukus lebih kurang 10-15 minit/ sehingga masak dan lapiskan dengan warna hijau dan kukus lagi sehingga masak.  Lakukan proses yang sama sehingga habis,  Untuk lapisan yang terakhir hendaklah dikukus lebih lama lebih kurang 30 minit....
  7. Setelah siap, biarkan sejuk di dalam loyang, barulah dikeluarkan dan dipotong.

Kek Lapis Horlick

Resepi untuk kek Lapis Horlicks
Bahan-bahannya:-
  • 250gm (1 buku) butter
  • 10 biji telur
  • 220gm horlicks
  • 150gm gula halus
  • 250gm biskut marie - dikisar halus
  • 3 sb koko
  • 1 sk esen vanila
Cara-cara membuatnya:-
  1. Panaskan pengukus.
  2. Pukul dengan menggunakan pemukul letrik, butter and gula sehingga kembang.  Setelah kembang masukkan telur satu persatu dan pukul sehingga kembang.  Masukkan esen vanila.
  3. Setelah itu rendahkan kelajuan pemukul letrik dan masukkan biskut marie dan holicks.  Pukul sehingga sebati.
  4. Bahagikan kepada dua bahagian.  Satu bahagian dibancuh dengan koko dan satu lagi bahagian dibiarkan dengan rasa asal.
  5. Oleskan butter ke dalam loyang dan alaskan kukus dengan kertas minyak/ aluminium foil dan masukan 1/3 dari bahagian koko dan kukus selama 5 minit/sehingga masak (tutup loyang dengan aluminium foil) dan lapiskan 1/2 bahagian horlick dan kukus lagi selama 5 minit/ sehingga masak.  Teruskan proses yang sama sehingga habis.  Untuk lapisan terakhir, kukus dengan lebih lama sedikit sehingga kek masak.
  6. Setelah masak, biarkan didalam loyang dan biarkan sejuk sebelum dipotong.

Monday, December 17, 2012

Lempeng Nestum Berkismis

Resepi untuk Lempeng Nestum Berkismis
Bahan-bahannya:-
  • 2 cawan tepung gangum
  • 1 biji telur
  • 2 cawan nestum
  • 1 sk baking powder
  • 1 cawan susu segar
  • Air secukupnya
  • 1 cawan gula (boleh kurang and lebihkan)
  • 1 sk garam
  • 1/2 cawan kismis 
  • Sedikit pewarna kuning
  • Sedikit majerin/ butter
Cara-cara membuatnya:-
  1. Campurkan tepung gandum, susu segar, garam, gula, baking powder, telur, pewarna kuning dan kismis, kacau rata dan masukkan ke dalam pengisar dan kisar sehingga hancur.
  2. Keluarkan dan masukkan nestum, sesuaikan kepekatan dengan menambahkan air.
  3. Panaskan kuali (non stick lebih baik) dan tuangkan satu senduk kecil adunan lempeng dan ratakan dengan belakang senduk sehingga nipis dan terus taburkan 1 sk nestum ke atas lempeng tadi sebelum lempeng tersebut masak (supaya nestum akan mudah melekat pada adunan lempeng).  Taburkan sedikit kismis jika mahu.
  4. Letakkan sedikit majerin/ butter di atas lempeng tersebut dan terbalikkan.  Angkat dan bolehlah dihidangkan bersama sambal tumis atau makan begitu sahaja.

Sunday, December 16, 2012

Bubur Gandum/ Terigu

Resepi Burbur Gandum/ Terigu
Bahan-bahannya:-
  • 300gm biji gandum - direndam lebih kurang 1 jam atau lebih
  • 1/2 tin jagung manis
  • 1 kotak kecil susu pekat
  • 1 cawan susu segar
  • 3 helai daun pandan
  • Gula kabung/ merah
  • Gula pasir
  • 1/2 s/k garam
  • Tepung warna
Cara-cara membuatnya:-
  1. Rebus biji gandum sehingga kembang bersama daun pandan.
  2. Setelah kembang, masukkan jagung, gula kabung/merah, gula pasir dan garam.  Biarkan seketika.
  3. Setelah itu masukkan santan dan susu segar. Kacau sehingga sebati dan akhir sekali masukkan tepung warna, cara membuatnya ada disini.
  4. Sedia untuk dihidangkan....

Saturday, December 15, 2012

Nasi Tomato

Resepi untuk Nasi Tomato
Bahan-bahannya
  • 1kg beras basmathi - dicuci dan ditoskan, biarkan lebih kurang setengah jam sebelum dimasak
  • 2 biji bawang merah besar - dihiris halus
  • 5 biji bawang putih - dihiris halus dan panjang
  • 3 cm halia - dihiris halus dan panjang
  • 1 paket besar rempah penumis
  • 3 helai daun pandan - dicuci dan disimpul
  • 1/2 cawan puri tomato
  • 2 s/b sos tomato
  • 1 tin kecil minyak sapi
  • 1/2 tin susu cair
  • 4 s/b madu
  • 4 biji tomato - dibuang tengah dan dipotong dadu
  • Garam secukup rasa

Untuk hiasan
  • Bawang Goreng
  • Daun bawang 
Cara-cara memasak
  1. Panaskan periuk dan masukkan kesemua minyak sapi, bila sudah panas, masukkan rempah penumis, daun pandan dan tumis sebentar.  Masukkan bahan-bahan yang dihiris dan tumis hingga naik bau dan bahan tumis kekuningan.
  2. Setelah bahan tumis kekuningan, masukkan puri tomato  dan sos tomato.  Tumis hingga garing.
  3. Setelah garing masukkan air, susu dan madu.  Kacau rata dan biar kan mendidih.
  4. Setelah mendidih masukkan beras yg telah ditos dan masukkan garam.
  5. Tuangkan kesemua bahan kedalam periuk nasi/ rice cooker dan masak seperti biasa (mai tumis terus dari rice cooker ke atas api semasa menumis) 

Ayam Masak Merah Ver. 2

Resepi untuk Ayam Masak Merah ver. 2
Bahan-bahannya
  • 1 ekor ayam - di potong ikut suka (kecil lagi sedap), diperapkan bersama kunyit serbuk dan garam selama 1/2 jam dan digoreng garing...
  • 2 senduk besar lada kering yang sudah dikisar (boleh tambah atau kurangkan)
  • 3 biji bawang merah besar - dikisar
  • 4 biji bawang putih - dikisar
  • 1 inci halia - dikisar
  • 2 inci lengkuas - dikisar
  • 1/2 cawan  puri tomato
  • 1/2 cawan sos tomato
  • 1/2 cawan cili sos
  • 1/2 tin susu cair
  • 1 batang serai - diketuk
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1/2 kg bawang merah kecil - dihiris dan dibuat bawang goreng (digoreng selepas ayam masak)
Bahan hiasan
  • Daun sop dan daun bawang - dihirs halus
  • Kacang Pees (dalam tin)
Cara-cara memasak
  1. Panaskan kuali dan tumiskan kesemua bahan kisar dan serai hingga garing, setelah itu masukkan puri tomato, cili sos, tomato sos dan susu cair.
  2. Tumis lagi untuk beberapa minit dan masukkan garam dan gula, gaul sehingga ratadan masukkan ayam yang telah digoreng dan dikacau rata.
  3. Masukkan 1 cawan air panas dan kecilkan api, biarkan sehingga kuah pekat.
  4. Akhir sekali, goreng bawang kecil hingga menjadi bawang goreng dan tuangkan bawang tersebut bersama minyak bawang goreng itu ke dalam kuali ayam tadi bersama daun sop, daun bawang dan kacang pees.......di gaul rata dan boleh lah dihidang kan.
  5. Taburkan lagi sekali daun sop,daun bawang dan kacang pees untuk hiasan.

Friday, December 14, 2012

Popia Sardin

Resepi untuk Popia Sardin
Bahan-bahannya:-
  • Kulit popia secukupnya - bersaiz sedang
  • 1 tin sardin - dibuang kuahnya
  • 1 biji bawang merah besar - dihiris halus
  • 3 biji bawang putih - dicincang
  • 1 biji lada hijau - dicincang
  • 1 biji lobak merah - dipotong panjang dan halus/ diparut panjang
  • 1 kiub ayam/ garam dan gula secukup rasa
  • 1 s/b lada sulah serbuk
  • Minyak untuk menumis
  • 2 s/b sos tomato
  • Tepung + sedikit air untuk membuat gam
Cara-cara memasak:-
  1. Tumiskan bawang merah, bawang putih, lada hijau, tumis sehingga garing dan masukkan sardin dan lobak merah, kemudian masukkan sos tomato, kiub ayam. kacau sehingga masak dan kering (hancur-hancurkan sedikit ikan sardin tersebut).
  2. Setelah masak, angkat dan tapiskan untuk mengeluarkan minyak/ air yang berlebihan.
  3. Ambil kulit popia dah letakkan 2 sudu kecil inti sardin dan lipat (sila lihat pada gambar), mai lebih suka melipat dengan cara seperti dibawah kerana lebih kemas dan cantik....
Lakukan proses yang sama sehinnga kesemua inti habis dan sedia untuk digoreng.  Panaskan minyak, masukkan popia bila minyak sudah betul-betul panas dengan menggunkan api yang sederhana.
Goreng sehingga rata dan kekuningan.  Angkat dan boleh lah dihidangkan semasa panas.

Wednesday, December 12, 2012

Puding Roti Berkuah Durian

  Resepi untuk Puding Berkuah Durian
Bahan-bahan Puding Roti:-
  • 1 bantal roti
  • 8 biji telur
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin air (sukatan dari tin susu cair tadi)
  • 2 s/b cawan gula
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1/2 sk garam
  • 1 sudu kecil serbuk kayu manis (kalau tak suka tak perlu letak)
Cara-cara membuatnya:-
  1. Pukulkan telur (tak perlu hingga kembang)
  2. Masukkan gula, susu cair dan air, kacaukan hingga gula larut
  3. Masukkan 1 sudu esen vanila.
  4. Potong roti kecil2 seperti didalam gambar dan susun ke dalam mangkuk, setelah itu masukkan bahan yang dipukul tadi ke dalam mangkuk roti, biarkan ia kembang dan biarkan selama 10 min. Tabur kan kismis dan serbuk kayu manis.
  5. Setelah 10 min masukkan ke dalam kukus yang telah dipanaskan sebelumnya. Kukus lebih kurang 20 min atau sehingga masak.
  6. Setelah masak di keluarkan dari kukus dan sedia untuk dimakan. Lagi sedap kalau kuahnya disimpan didalam peti sejuk.
Tips:
Pudding roti ni tak boleh di potong-potong, terus di ambil menggunakan sudu atau senduk dan masukkan ke dalam mangkuk kecil dan tuangkan kuahnya.

Bahan Untuk Kuahnya:-
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin air (gunakan tin susu cair tadi)
  • 1 tin susu pekat (masukkan 1/2 tin dahulu dan rasa kerana durian sudah cukup manis)
  • 1/2 s/k garam
  • 1 cawan durian (dibuang biji)
  • 1 s/k esen vanila
Cara-cara membuatnya:-
  1. Campurkan semua bahan kedalam periuk dan kacau sehinga sebati dan letakkan diatas api yang sederhana, masak sehingga kuah pekat.
  2. Setelah siap bairkan pada sejuk dan simpan kedalam peti sejuk, enak dihidangkan sejuk bersama puding roti....

Tuesday, December 11, 2012

Sausage Spaghetti

Resepi untuk Sausage Spghetti
Bahan-bahannya
  • 1 paket daging cincang (daging/ayam)
  • Beberapa batang sosej
  • 6 biji bawang kuning - di cincang/dipotong dadu
  • 2 pkt spegeti - direbus and ditoskan (campur kan dengan minyak untuk tidak melekat dan lagi cantik)
  • 2 senduk lada kering yang sudah dikisar
  • Sos cili secukup rasa
  • Sos tomato secukup rasa
  • 1 botol besar spaghetti pes - mai suka PREGO
  • Minyak masak
 Cara-cara Memasak:-
  1. Panaskan air dan letakkan 2 s/b minyak masak, biarkan sehingga mendidih.
  2. Potong sosej kepada lebih kurang 8 bahagian dan cucukkan spaghetti yang belum dimasak dan rebus sehingga masak,  angkat dan toskan.
  3. Tumis bawang yg dicincang sehingga wangi, masukkan lada kering dan tumis hingga garing.
  4. Masukkan daging cincang, kacau seketika dan masukkan pes dan tumis lagi.  Sesuaikan rasa dengan sos cili, tomato, garam dan gula.
Tips: Jika hendak muai, boleh lah ditambahkan air 1gelas, biarkan mendidih dan masukkan tepung jagung + air untuk memekatkan kuah(jika tidak mahu letakkan tepung pun tidak mengapa)

Monday, December 10, 2012

Kek Marble Kukus

Resepi untuk Kek Marble Kukus
Bahan-bahannya:-
  • 4 biji telur
  • 3/4 cawan gula halus
  • 1 1/2 cawan tepung gandum - diayak bersama baking powder
  • 3/4 sk baking powder
  • 1/2 sb penuh ovallete
  • 1/4 sk garam
  • 7 1/2 sb susu pekat manis
  • 1 sk esen vanilla
  • 1/3 cawan minyak jagung/mentega cair (80g)
  • 3 atau 4 pewarna pilihan

Cara-cara membuatnya:
  1. Panaskan kukus dan sapukan mentega pada loyang.
  2. Pukulkan kesemua bahan kecuali minyak dan pewarna menggunakan whisk letrik sehingga kembang dan putih with high speed.
  3. Masukkan minyak dan pukul dengan low speed sehingga sebati.
  4. Bahagikan kepada 5 bahagian dan warnakan.
  5. Pewarna yang disukai dan letakkan pada loyang berselang seli.
  6. Tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 45 minit.

Saturday, December 8, 2012

Telur Bistik

Resepi untuk Telur Bistik
Bahan-bahannya:-
  • 2 s/b pes lada kering
  • 1 biji bawang merah besar/ holland – di potong dadu
  • 3 biji bawang putih – dicincang
  • ½ inci halia – di cincang
  • 1 biji lada hijau – dipotong bulat
  • 1 biji lada merah – dipotong bulat
  • 100gm daging cincang
  • 2 s/b sos tiram
  • 1 s/b sos plum (*optional jika tiada boleh tambahkan quantiti sos tomato)
  • 2 s/b sos ikan
  • 1 s/b sos tomato
  • 2 s/b sos cili
  • ½ cawan sayur campur
  • 1 batang sosej – dipotong bulat
  • ½ batang lobak merah – dihiris panjang
  • Sedikit kobis – dihiris halus
  • ½ s/b tepung jagung
  • Gula secukup rasa
  • Minyak untuk memasak
Cara-cara memasak:-
  1. Ambil kobis dan separuh dari lobak merah yg dihiris dan rendam kedalam air sejuk dan disimpan kedalam peti sejuk.
  2. Panaskan kuali dan gorengkan sosej yg telah dihiris sehingga keperangan, angkat dan ketepikan.
  3. Tumis lada kering, bawang merah, bawang putih, halia, lada merah dan lada hijau sehingga naik bau.
  4. Masukkan daging dan kacau sehingga daging masak.
  5. Masukkan sos ikan, sos tiram, sos cili, sos tomato, sos plum dan sesuaikan rasa dengan gula. Kacau sehingga sebati dan masukkan lobak merah dan sayur campur. Setelah semua masak, masukkan sedikit air untuk membuat kuah (terpulang byk mana kuah yg dikehendaki) dan masukkan tepung jagung. Kacau rata sehingga kuah pekat dan tutup api.
Bahan untuk telur dadar:-
  • 5 biji telur
  • 1 s/b mayonis
Cara-cara membuatnya:-
  1. Pukul telur dengan mayonis. Panaskan kuali dengan sedikit minyak dan dadar telur seperti biasa, lenggok2kan kuali utk mendapatkan dadar yang nipis.
  2. Jika menggunakan kuali yg kecil boleh dibahagi telur kepada dua kali masak.
  3. Hidangkan kuah ke dalam pinggan dan susunkan telur yang telah digulung di atas kuah tadi dan taburkan dengan kobis, carot dan sosej. Sedia untuk dimakan…..